ADFH header

Family Day MPDADFH

family day1

TELUK BAHANG , 15 APRIL 2018 – Satu program Family Day MPDADFH telah diadakan di Pantai Kerachut, Pulau Pinang. Program ini dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan (MPDADFH). Program ini melibatkan semua ahli MPDADFH serta pihak pengurusan Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan.

Objektif program ini adalah untuk mengukuhkan lagi ukhuwah yang terjalin dalam kalangan ahli MPDADFH serta pihak pengurusan Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan. Selain itu , program ini bertujuan untuk  memberi ruang dan peluang kepada ahli MPDADFH sendiri untuk mengisi masa hujung minggu dengan riadah santai.

Pada pukul 7.45 pagi semua ahli MPDADFH telah berkumpul di Kafeteria Aman sebelum bertolak ke Pantai Kerachut dengan menaiki bas dan sampai di destinasi pada pukul 9 pagi.Sebelum memulakan aktiviti, Pengarah projek, Saudari Siti Fatimah Binti M.Usman telah memberikan penerangan ringkas kepada semua peserta tentang aktiviti yang akan dijalankan. Selain itu, beliau turut mengingatkan semua peserta agar menjaga keselamatan sepanjang aktiviti berlangsung. Di samping itu, Penggawa ADFH, Tn. Hj Mohd Zain Bin Dollah juga telah memberikan sepatah dua kepada semua ahli MPDADFH yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Antara aktiviti yang telah diadakan sepanjang program ialah permainan klasik seperti "Datuk harimau" dan "Ibu ayam" serta permainan “Dodgeball”. Selepas selesai semua aktiviti, semua peserta dan pihak pengurusan telah sama-sama menjamu selera. Usai sahaja jamuan makan, upacara penyampaian hadiah kepada kumpulan yang memenangi permainan telah disempurnakan oleh Penggawa ADFH, Tn. Hj Mohd Zain Bin Dollah dan Penolong Penggawa, Dr. Lai Ngit Shin.

Program ini tamat sekitar jam 4.30 petang dan diakhiri dengan sesi fotografi. Meskipun keletihan, semua peserta berasa amat gembira dengan program yang dianjurkan. Walaupun program seperti ini julung kali diadakan, namun program ini sedikit sebanyak membantu mengeratkan lagi ukhuwah  yang sudah terjalin dalam kalangan ahli MPDADFH serta pihak pengurusan Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan. Diharapkan agar program sebegini akan diadakan lagi pada tahun akan datang .

family day2

Galeri gambar (Klik di sini)

Teks : Kavithirakaswin A/P Kumarchelvan

Foto : Ahli Jawatankuasa Multimedia Program Family Day ADFH