ADFH header

  • Kenali Kami
  • Latar Belakang

Latar Belakang

 

DESASISWA AMAN DAMAI FAJAR HARAPAN

Sejarah Penggabungan

Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan (ADFH) mendapat nama daripada penggabungan dua buah desasiswa iaitu Desasiswa Aman Damai dan Desasiswa Fajar Harapan. Antara tujuan penggabungan desasiswa adalah untuk mengoptimumkan semua sumber yang ada baik dari segi kewangan, pentadbiran, sumber manusia dan keseimbangan kapasiti pelajar antara Desasiswa Aman Damai dan Fajar Harapan. Setelah mendapat mandat daripada pihak universiti, maka Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan telah digabungkan pada 1 Januari 2016.

Menyingkap tirai sejarah universiti, penggabungan desasiswa bukanlah perkara yang asing dan baharu. Perkara ini telah berlaku sejak bertahun dahulu seperti Desasiswa Aman Damai yang pada asalnya ialah Desasiswa Aman dan Desasiswa Damai, Desasiswa Indah Kembara yang pada asalnya ialah Desasiswa Indah dan Desasiswa Kembara, Desasiswa Fajar Harapan, yang pada asalnya Desasiswa Fajar Bakti dan Desasiswa Harapan, begitu juga penggabungan Desasiswa Bakti dan Desasiswa Permai menjadi Desasiswa Bakti Permai. Kemudian, Desasiswa Cahaya dan Desasiswa Gemilang yang bergabung menjadi Desasiswa Cahaya Gemilang. Desasiswa tersebut akhirnya digabungkan bersama Desasiswa Bakti Permai  lalu dikenali kini sebagai Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang (BPCG)

Pengurusan ADFH

Penggawa pertama Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan merupakan seorang pentadbir yang sangat berpengalaman luas dalam skop pengurusan pelajar. Beliau ialah Encik Nazru bin Haji Ismail. Sebelum ini beliau merupakan Penggawa Desasiswa Aman Damai. Tempoh pentadbiran beliau di ADFH bermula dari penubuhan ADFH sehingga bulan Mei 2017. Beliau seterusnya meneruskan perkhidmatan ke sebuah IPTS sebagai seorang pentadbir tertinggi di universiti tersebut.

Tugas Penggawa selepas itu dipangku oleh Penolong Penggawa, Prof. Madya Dr. Mohammad Reevany Bustami dengan dibantu oleh tiga orang Penolong Penggawa dan kakitangan pentabiran yang lain.

Pada bulan Januari 2018, Tuan Haji Mohd Zain bin Haji Dollah telah dilantik sebagai Penggawa Desasiswa ADFH yang baharu.