PEMANTUN ADFH PEMBUKA GAPURA PADU
KUBANG KERIAN, April 2018 - Pesta Pantun Antara Desasiswa USM (PADU) 2018 yang berlangsung pada 30 Mac hingga 1 April 2018 di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan telah pun melabuhkan tirai dengan jayanya. Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan (ADFH) turut menghantar pasukan untuk bertanding dalam pertandingan ini.
Menurut Pengarah Projek, Norsyafinah Binti Sailieh, 23, pemantun Desasiswa Aman Damai Fajar Harapan (ADFH) terdiri daripada 5 pelajar dalam satu kumpulan dipimpin oleh seorang pengurus; Nurul Syahira Binti Muhizan dan pertandingan dilaksanakan mengikut sistem yang ditetapkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM). Slogan PADU kali ini ialah “Biar Santun Mengulit Madah, Sepanjang Zaman Tradisi Dijulang”.
Sembilan pasukan desasiswa daripada ketiga-tiga kampus telah mengambil bahagian iaitu ADFH, Murni Nurani, Restu, Tekun, Bakti Permai Cahaya Gemilang (BPCG), Saujana, Lembaran, Jaya Utama dan Indah Kembara. ADFH bertanding dalam dua peringkat saringan; saringan pertama bersama Murni Nurani manakala saringan kedua bersama BPCG. ADFH berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam pertandingan bersama BPCG sebanyak 3-0. Pemantun ADFH, saudara Mohamad Nurzakwan Bin Mohd Sabri, 21, turut berhasil merangkul gelaran Pemantun Terbaik dalam saringan kedua bersama BPCG.
Tema bagi pembukaan PADU yang dibawakan oleh ADFH ialah kayangan. Hasil daripada latihan yang konsisten, pasukan pemantun ADFH berjaya mempersembahkan pembukaan yang menarik perhatian ramai sebelum pertandingan bermula. Persembahan pembukaan tersebut boleh ditonton di YouTube ADFHTV.
Namun, rezeki tidak menyebelahi ADFH kerana mata yang diperoleh tidak melayakkan pasukan pemantun ke peringkat separuh akhir. Meskipun tidak berjaya ke peringkat seterusnya, pasukan pemantun ADFH masih diberi pujian kerana telah melakukan yang terbaik dalam pertandingan.
Salah seorang wakil pemantun ADFH yang ditemui, Abdirahman Iltizam bin Mohamad, 21, pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Sains Komputer melahirkan rasa teruja apabila berpeluang melibatkan diri dalam PADU kali ini.
“Bagi saya, pengalaman sepanjang menyertai pesta pantun ini banyak memberikan manfaat kepada diri saya sebagai seorang peserta. Saya dapat merapatkan silaturahim sesama rakan USM dan bertemu kenalan baru. Saya juga dapat mempelajari ilmu berpantun melalui rakan-rakan yang lebih mahir. Selain itu, saya juga berhasrat memelihara bahasa dan tradisi kerana kebanyakan remaja kini sudah melupakan adat resam tradisi berpantun,” kata Iltizam yang merupakan pemantun utama ADFH.
PADU dianjurkan untuk mengekalkan sikap cinta akan warisan bangsa dan memelihara keseniannya dalam kalangan mahasiswa/siswi universiti serta memelihara seni warisan bangsa agar terus berkembang sejajar dengan arus pembangunan dan pemodenan. Selain itu, PADU bermatlamat memupuk semangat bersaing dan bekerjasama secara kolektif dan sihat sesama pelajar universiti seterusnya melahirkan generasi yang cinta akan agama, bangsa dan budaya.
Dalam pertandingan tersebut, Desasiswa Restu selaku johan keseluruhan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, piala dan sijil. Turut hadir dalam pesta pantun kali ini ialah Penggawa ADFH, Tuan Haji Mohd Zain Bin Dollah serta Penolong Penggawa, Puan Ezaleena Binti Mohd Khalid.
Teks: Nurina Izzati Binti Mohmad Soib
Foto: Jawatankuasa Pengelola